Friday, August 3, 2007

Keberkatan Kenaikan Gaji

Keberkatan kenaikan gaji
Oleh: MOHAMAD YAZID ISAI
BERMULA penghujung Julai lepas kakitangan kerajaan telah menikmati apa yang sesetengah pihak mengatakan sebagai “peristiwa terbaik dalam sejarah perkhidmatan awam” iaitu setiap daripada mereka menerima kenaikan gaji di antara 7.5 peratus hingga 35 peratus.
Sejak pengumuman kenaikan gaji oleh Perdana Menteri pada 21 Mei 2007, kita sebenarnya lebih ‘emosional’ dengan isu- isu seperti peningkatan harga barang tetapi tidak ramai yang ‘emosional’ dengan tanggungjawab lain yang sememangnya berkait rapat dengan kenaikan gaji.
Kenaikan gaji ini dari segi prinsipnya bukan sahaja menguntungkan kakitangan awam malahan golongan fakir dan miskin yang sepatutnya turut menerima tempias daripada kenaikan gaji ini. Ini semua dapat dizahirkan menerusi tanggungjawab menunaikan zakat; kewajipan yang telah disyariatkan oleh agama Islam lebih 1,400 tahun dahulu.
Persoalan zakat bukanlah suatu yang asing, malah ia merupakan suatu urusan ibadah yang utama bagi setiap individu Islam. Ini terbukti memandangkan bahawa zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang bersifat taabudiyyah (pengabdian kepada Allah) dan menjadi asas pembinaan sebuah masyarakat Islam yang sempurna.
Sebagai seorang yang mengaku dirinya Islam sewajarnya tanggungjawab menunaikan zakat tidak dilupakan atau sengaja dilupakan. Tambahan pula al-Quran telah menyebut sebanyak dua puluh tujuh kali hubungan antara kewajipan mengerjakan solat dan kewajipan menunaikan zakat.
Antara ayat al-Quran yang menyentuh perkaitan ini ialah firman Allah yang bermaksud; Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat serta rukuklah bersama orang-orang yang rukuk (al-Baqarah 43).
Dilihat dari makna zakat itu sendiri, ia bermaksud bersih dan membersihkan. Oleh itu ia berperanan dalam membersihkan harta seseorang daripada percampuran dengan hak-hak orang miskin, diri pemberi dan penerima zakat daripada sifat keji seperti kedekut, tamak, hasad dengki dan sebagainya.
Zakat bertindak sebagai instrumen kewangan yang berfungsi menyalurkan sebahagian harta golongan kaya kepada mereka yang memerlukan iaitu lapan golongan yang berhak menerima zakat seperti yang dijelaskan oleh Allah s.w.t (al-Taubah 60).
Jika ditinjau enam daripada lapan golongan yang disebut dalam al-Quran ini adalah terdiri daripada golongan yang ada kaitan dengan kemiskinan.
Sehubungan itu zakat dilihat sebagai satu instrumen yang mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi umat Islam kerana ia dapat membantu menyelesaikan masalah kemiskinan yang merupakan salah satu daripada penyebab kepada kehancuran hidup manusia.
Di samping itu juga zakat berperanan dalam memberi keberkatan kepada pembayar-pembayarnya sama ada pada dirinya, keluarganya dan hartanya. Walaupun pada zahirnya harta pembayar itu berkurangan tetapi hakikatnya ia diberkati oleh Allah dan dipelihara daripada segala bala bencana ke atasnya.
Jika bersandarkan kepada dalil al-Quran dan hadis, zakat hanya meliputi item seperti emas, perak, binatang ternakan, tanaman, barang perniagaan, barang galian dan harta karun. Namun pembangunan dalam aspek ekonomi telah menyebabkan bentuk kekayaan telah berubah daripada pegangan harta berbentuk fizikal kepada pegangan harta berbentuk bukan fizikal seperti bayaran upah dan pendapatan secara bergaji.
Bagi memenuhi keperluan berzakat bagi kategori harta bukan fizikal ini, terdapat sesetengah ulama yang mewajibkan zakat pendapatan seperti mana yang difatwakan oleh ulama muta‘akhirin antaranya Yusuf al-Qardhawi. Majlis Fatwa Kebangsaan juga memperakui bahawa zakat ke atas pendapatan adalah wajib.
Walaupun begitu, pelaksanaan di peringkat negeri berbeza-beza dan memerlukan pewartaan fatwa dari setiap negeri. Contohnya fatwa yang dikeluarkan oleh Perak, merujuk kepada Subseksen 34(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 (Bil 2 Tahun 1992) menjelaskan : “Bahawa gaji atau pendapatan termasuk dalam kategori yang wajib zakat apabila cukup nisab dan haul itu adalah merupakan syarat yang diittifaqkan oleh Jumhur Ulama dalam mazhab yang empat. Syarat ini tidak berlaku pada gaji atau pendapatan maka gaji atau pendapatan tidak wajib zakat.” (Rujukan Pewartaan No: 165 Jil:57 Bil:5)
Zakat pendapatan bermaksud sejumlah bayaran yang dikenakan ke atas gaji dan pendapatan bebas. Secara ringkas gaji bermaksud pendapatan penggajian seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi. Contohnya gaji tahunan, pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat) dan lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian).
Manakala pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya. Contohnya bayaran guaman, khidmat nasihat, juruperunding, rawatan perubatan dan lain-lain yang berkaitan.
Secara ringkas terdapat tiga metod dalam mengira zakat pendapatan. Yang pertama membayar zakat 2.5 peratus atas jumlah pendapatan kasar setahun. Yang kedua membayar zakat 2.5 peratus atas jumlah pendapatan bersih setahun (setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenarkan).
Yang ketiga membayar zakat 2.5 peratus atas perbelanjaan bersih setelah mengambil kira perbelanjaan sebenar. Perlu juga dimaklumkan bahawa kewajipan berzakat hanya tertakluk jika pendapatan yang layak dizakat itu melepasi kadar nisab (kadar nisab semasa ialah RM6,800).
Terdapat pelbagai kemudahan disediakan oleh institusi zakat bagi menggalakkan pembayaran zakat di kalangan umat Islam terutama kakitangan awam di Malaysia. Antaranya ialah kemudahan membayar zakat pendapatan melalui skim potongan gaji.
Mungkin ramai juga yang tidak mengetahui bahawa pembayar zakat di Malaysia sebenarnya layak mendapat penolakan dalam mengira cukai pendapatan mereka. Kakitangan kerajaan seharusnya bersyukur kerana memperoleh kenaikan gaji ini ditambah pula kita juga dikurniakan sebuah negara yang aman serta hasil bumi yang melimpah-ruah. Rasa syukur ini boleh diterjemahkan menerusi komitmen kakitangan awam dalam menunaikan kewajipan berzakat.
Perangkaan menunjukkan kerajaan akan membelanjakan RM6.8 bilion setahun bagi menampung peningkatan gaji ini dan cuba bayangkan jika 2.5 peratus daripada jumlah ini dijelaskan oleh setiap kakitangan awam sebagai bayaran zakat.
Secara kasar, ratusan juta dapat dijana bagi membantu ekonomi umat Islam (ini belum mengambil kira gaji sebenar sebelum kenaikan serta gaji kakitangan swasta – jumlah pembayaran zakat pendapatan pasti mencecah berbilion setahun!). Tidak mustahil ekonomi umat Islam dapat dibangunkan menerusi sumber kekayaan sebesar ini.


Pesanan penaja (hari Jemaat ni kita bagi ceramah la sket kan kan kan) ..... kuarkan la zakat, baru hidup berkat... kena ingat dlm gaji kita ada bahagian org lain sama.... wa baru je ari tu balik kuantan... dah pi tambah potongan zakat... alhamdulillah ada rezeki lebih.. kita share juga ngan sesama islam..

No comments: